Saya ada seorang anak saudara, namanya Eden.
Waktu bertemu dengan ibunya saya beritahu. Itu nama yang baik. Maksud Eden serupa dengan Adn’ yang bermaksud syurga. Rujukan wahyunya boleh dilihat pada surah As-Shaff (61) ayat 12.
Yang menariknya, ayat 12 itu adalah satu petikan daripada ‘perbualan’ Allah dengan manusia, diceritakan dalam surah in daripada ayat 10 hingga 13 yang saya petik seperti di bawah:
61:10 — Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?
61:11 — (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,
61: 12 — niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
61: 13 — Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Pelajaran yang saya dapat daripada dialog pendek ini adalah:
1. Allah sentiasa memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan hidup yang membawa ke arah kebaikan. Tapi kalau masih nak pilih cara sendiri (yang pasti bawa masalah kemudian hari), dipersilakan.
2. Jalan hidup ke arah kebaikan itu bukanlah percuma. Ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Sejarah telah membuktikan umat-umat rasul dari zaman ke zaman tidak pernah lekang daripada ujian. Sesuailah dikatakan ujian itu adalah sahabat kepada orang beriman.
3. Jika ‘lulus’ ujian oleh Allah. Manusia akan diberikan ganjaran. ganjaran itu ada dua dimensi.
Dimensi pertama adalah nikmat hidup di akhirat. Ini dijelaskan dalam ayat 12 menggunakan istilah Adn/Eden ketika manusia diberi ganjaran syurga.
Dimensi kedua adalah nikmat ketika hidup di dunia. Ini dijelaskan dalam ayat 13 sebagai ‘kurnia yang kamu sukai iaitu pertolongan dan kemenangan.
Kita sedia maklum semua ummat rasul berjuang melawan tirani pemerintah yang menggunakan hukum ciptaan sendiri dan tidak mengikut hukum yang diperintahkan Allah.
Di akhir setiap perjuangan mereka, (dalam kebanyakan kes) rasul dan umatnya diberikan kemenangan dan mereka akhirnya bebas melaksanakan hukum Allah di muka bumi.
Bagi saya, kesamaan yang ada pada dua-dua dimensi ganjaran ini berpaksikan perkara yang sama iaitu manusia dapat hidup di bawah lindungan cara hidup yang benar mengikut perintah Yang Maha Mencipta.
Soalan saya adalah, bagaimana cara untuk mengaplikasikan keempat-empat ayat ini dalam kehidupan kita yang:
1. Hidup dalam keadaan sesah, resah dan susah. Jenayah berlaku di sini-sana. Pemerintah pula mentadbir mengikut rasa.
2. Kefahaman terhadap kitab suci jarang sekali dijadikan sebagai bahan bicara. Orang takut mereka ‘tidak layak’ bercakap tetang apa yang dipercaya sehingga mereka sanggup lepak mamak berjam-jam sembang pasal kereta, bola, politik dan wanita.
* Penafian: elemen di atas hanyalah contoh semata-mata.
3. Orientasi ‘syurga’ tertalu ditumpukan kepada ganjaran selepas mati, sehingga perjuangan semasa hidup untuk mendapatkan syurga diertikan cukup sekadar mencari makan minum dan pakai buat diri dan keluarga.
Usaha mewujudkan ‘syurga’ dalam kehidupan di dunia tidak nampak relevan dalam kehidupan hari ini, tidak seperti umat rasul dahulu kala.
Nak dengar pendapat anda. Boleh pilih letak perkongsian di ruang komen atau jomlah kita mengeteh sementara masih boleh.
Ali Imran
Hidup
p.s: (Fikir nakal) Boleh jadi orang Nogori Sombilan dah lama faham konsep ini sebab itu mereka mahu hidupkan syurga dalam diri mereka. Maka mereka guna perkataan ‘eden’ dalam perbualan bila merujuk kepada diri sendiri, haha!
(Artikel ini disiarkan buat kali pertama pada 23 November 2022 di Facebook)
sila tekan untuk ke artikel asal