Kes kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup tirainya (setakat ini) semalam dengan mahkamah memutuskan beliau bersalah ke atas pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.
Saya simpan pendapat peribadi saya terhadap kes ini kerana ia tidak penting. Mahkamah sudah membuat keputusan dan sebarang komentar yang dilemparkan tidak akan menambah baik atau mengubah apa-apa.
Saya tidak ke lapangan, tapi hanya mengikuti liputan dari pejabat.
PILIHAN SAYA
Dua komputer dipasang serentak. TV di pejabat pun dipasang. Beberapa portal berita saya buka tapi akhirnya saya hanya pilih dua untuk dijadikan rujukan berterusan.
Pertama, Bernama. Kedua, Kedua, MalaysiaKini melalui live.malaysiakini.com dan yang ketiga, Astro Awani (tonton melalui tv).
Untuk kesahihan fakta, saya sentiasa rujuk Bernama. Bukan semata-mata kerana saya bekerja di sini, tapi saya tahu Bernama akan mengambil tanggung jawab penuh ke atas apa sahaja yang dilapornya.
Saya minat ‘layout’ di live.malaysiakini. Ia kemas. Ada paparan jelas kronologi kejadian, video feed ‘real time’ (walaupun ada buffer yang agak lama berbanding channel youtube kinitv) dan ada ruang komentar melalui twitter.
Penggunaan terma ‘Judgement Day’ juga saya lihat amat berimpak besar. Memang tepat pilihan perkataan itu.
Komentar twitter, pada saya adalah satu tindakan bijak. Ia memberi ruang untuk mencapai lapisan organisasi/individu yang lebih luas, dalam masa yang sama menyaring kualiti komentar yang disiarkan.
Boleh tengok perbezaan besar dengan kualiti komentar di ruang ‘chat’ di youtube kinitv.
Daripada jenis orang yang komen, kesahihan identiti individu yang membuat komen hingga kredibiliti komentar yang dilempar. Berbeza sangat.
ELEMEN ‘HUMAN INTEREST’
Juga yang saya suka suntikan elemen menyentuh emosi, sebagai contoh seperti di bawah:
“2.10PM: The atmosphere outside the Palace of Justice in Putarajaya is tense as thousands of Anwar’s supporters denouncing the decision.
The riot police bell has been rung, prompting the armoured police personnel to take their places.
Meanwhile, Anwar is still in court with his lawyer Gopal. Anwar is seen holding on to his grandchildren.”
“12.45PM: Anwar tells his grandchildren to concentrate on their studies, while an ashen-faced Wan Azizah says the family must remain strong.”
Tak kiralah Anwar salah atau tidak, itu kita tolak tepi dahulu.
Tapi dengan gambaran di luar dan dalam ruang Istana Kehakiman, situasi ini, sebaik dibaca, membuat suasana ini tergambar secara visual dalam minda, sebaik sahaja dibaca.
Kalau dibayang-bayangkan semula, rasa macam nak menangis pun ada.
Inilah elemen yang digelar ‘human interest’ dalam berita.
Elemen ini amat penting untuk ‘melembutkan’ sesuatu laporan, dan memberi ruang kepada pembaca untuk bermain dengan visual minda, membayangkan keadaan sebenar sesuatu kejadian.
Bila emosi pembaca ditangkap oleh kata-kata anda, mereka sanggup baca biarlah panjang mana pun artikel, biar lama mana pun siaran langsung.
Mereka akan setia menunggu maklumat daripada anda.
HAL YANG DIPELAJARI
Di bawah, saya kongsikan, apa yang sebenarnya saya perhati sepanjang liputan perbicaraan berlangsung.
1.Kualiti laporan ‘just in time’ yang disiarkan.
Tiada masalah. Hampir semua pihak yang buat laporan dapat salurkan perkembangan terkini dari dalam bilik mahkamah dengan pantas.
2.Kualiti live feed – update kronologi kejadian.
Live.malaysiakini menyenangkan hati saya. Sambil buat laporan tentang situasi di lokasi, ada juga dimasukkan komentar dari pihak ketiga seperti kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Lim Kit Siang.
3.Kualiti laporan stand-upper (langsung dari lokasi).
Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya kenapa Astro Awani memilih lokasi yang kelihatan amat ‘aman’ sebagai lokasi melakukan stand-upper.
Tak tahu lorong mana mereka dapat. Dari satu sudut pandang, baguslah sebab boleh buat laporan dengan tenang, wartawan pun tak gaduh nak naikkan suara lawan suara ‘crowd’.
Tapi dari satu sudut pandang lagi, tak nampak suasana yang ‘hidup’ riuh-rendah di Istana Kehakiman.
Apa pun, pastinya mereka ada sebab tersendiri. Kita hormati dan pelajari.
4.Teknologi yang diguna untuk pastikan siaran langsung berjam-jam berjalan lancar.
Kamera beroperasi berjam-jam tanpa henti, terutama kamera dari luar Istana Kehakiman.
Entah dibawa bekalan selori bateri ganti, atau disambung dengan bekalan elektrik (direct current), tapi ia berjaya pastikan siaran tidak terputus.
Bahagian ini memang saya tak pandai. Nak kena cari ilmunya.
Cuma satu yang saying, setakat yang saya lihat, tiada penggunaan teknologi dron untuk mengambil gambar dari udara.
Teknologi ini semakin murah dari hari ke hari. Satu hari nanti saya sendiri akan beli bila wartawanawam.com dah capai tahap matang yang lebih tinggi.
5.Keseimbangan liputan kepada penyokong DSAI, penyokong Saiful pihak polis, situasi dalam mahkamah dan situasi luar mahkamah.
Mungkin sebab penyokong DSAI ramai, liputan terhadap mereka lebih banyak.
Tak tahu apa sebab, footage penyokong Saiful tidak ada. Atau mungkin saya yang tak perasan?
Laporan tentang operasi Polis juga ada, dan bagus bila dilaporkan terus tentang sikap sesetengah penyokong DSAI yang tidak mengendahkan amaran pihak polis.
6.Jenis orang yang ditemuramah/ diberi ruang untuk memberi komentar di TV
Satu-satunya perkara yang saya tidak gemar dalam liputan live MalaysiaKini semalam, ialah bila mikrofon kamera dibiarkan ‘on’ sepanjang masa, menyebabkan banyak benda yang tidak perlu didengar, disumbat masuk ke telinga saya.
Ini termasuklah komentar yang boleh menyusahkan kembali pihak yang bercakap. Bila keluar ayat yang berbentuk penghinaan kepada organisasi dan individu tertentu, pada saya, ia tak kena.
Tapi bila difikirkan semula, dalam suasana yang tegang, beremosi seperti itu, bagaimana nak tapis ia daripada ditangkap mikrofon, betul?
Inilah cabaran dan risikonya, membuat laporan langsung kejadian seperti ini.
Satu lagi yang tidak cantik, sembang-sembang kosong para kru terlibat. Sampai butir bicara kru (mungkin jurukamera) bercakap di telefon pun, sepatah-sepatah disiarkan.
Itulah enam perkara yang saya perhati.
Banyak benda yang saya pelajari.
Anda perhati apa?
Ali Imran
Wartawan Awam
Nota:
- Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
- Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.