Hijrah yang dirindui

Sudah 1,442 tahun berlaku sejak peristiwa bersejarah yang menyaksikan tertegaknya sebuah negeri yang ditadbir mengikut perintah Allah.

Nabi Muhammad menyusuli sahabat-sahabat yang telah terlebih dahulu bergerak dari bumi Mekah untuk berpindah ke Yathrib.
Ibrahim berhijrah.
Musa berhijrah.
Isa berhijrah.

Perkara sama berlaku kepada Muhammad Rasulullah.
Soalannya – Kenapa Yathrib jadi pilihan?

Rombongan dipimpin Uthman Affan diterima baik oleh Raja Habshah tetapi baginda sekadar memberi suaka.

Perjalanan nabi ke Thaif disabotaj sehingga kehadirannya diketahui pembenci. Diserang secara fizikal sehingga berdarah.

Gagal demi gagal, nabi tak pernah mengaku kalah dalam berdakwah.

Sehinggalah pada satu musim haji 12 orang dari Yathrib menyatakan janji setia di hadapan Rasulullah.

“Datanglah ke tempat kami,” kata mereka.

Lalu Rasullah kirimkan Mushab bin Umair dan Amr bin Ummi Maktum sebagai pembimbing.

Setahun selepas itu, 73 lelaki dan 2 wanita pula hadir di depan rasul untuk menyatakan janji setia.

Itulah bibit hingga pada tahun ke-13 kerasulan selesailah proses hijrah Rasulullah dan para sahabat seiman baginda ke tanah yang sudi menerima misi risalah.

Dalam kata lain, destinasi hihrah bukanlah dipilih, tetapi dikurniakan Allah berkat usaha tidak putus-putus berjuang di jalanNya.
Mengapa proses hijrah sangat penting?

Hanya selepas hijrah barulah bermula era penegakan hukum Allah secara bebas tanpa halangan sesiapa pun.

Perkara ini tidak boleh berlaku ketika rasul dan para sahabat masih berada di Mekah kerana di bawah pemerintahan Amr bin Hisham (a.k.a Abu Jahal) mereka sudah punya sistem hukum mereka sendiri.

Selepas hijrah barulah wahyu-wahyu bersifat peraturan, penghakiman dan hukuman diturunkan kepada rasul.

Selama 13 tahun berdakwah di Mekah, kebanyakan ayat yang diturun adalah untuk membina iman.

Tegaknya Yathrib sebagai tanah berlakunya hukum milik Tuan kepada Semesta Alam menjadikan ia layak ditukar nama kepada ‘Ma-dien-ah’ = Tempat berlakunya dien (hukum).

Maka lahirlah juga perlembagaan pemerintahan yang dikenali sebagai ‘Piagam Madinah’ – dikatakan perlembagaan pertama secara bertulis dalam sejarah manusia.

Manusia hari ini amat merindui proses hijrah seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Sebabnya? Dalam dunia yang penuh undang-undang, cara manusia hidup seakan-akan langsung tidak berperaturan.

Nafsu dijadikan panduan. Ayat suci diketepikan. Perjuangan orang terdahulu hanya dijadikan dongengan.

Bilakah waktunya kita akan dapat merasa satu saat berlakunya satu proses hijrah yang mengubah seluruh tatanan ketamadunan manusia daripada ‘zhulumat’ kepada cahaya?

Atau kita akan jadi seperti manusia yang mengaduh meminta simpati daripada sang malaikat atas kealpaan menurut perintah yang Maha Esa?

Kisah mereka dapat dibaca dalam petikan di bawah:
Surah An-Nisa, ayat 97:
إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”. Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)”. Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?”. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.

Ali Imran
(Artikel ini disiarkan buat kali pertama pada 20 Ogos 2022 di Facebook)
sila tekan untuk ke artikel asal

Leave a Comment

Your email address will not be published.